Friday, September 30, 2011

Darah Muda part.1

Malam itu,Rudin pulang rumah dengan gembira. Latihan ‘Drift’ dengan rakan-rakannya tadi sungguh mengujakan. Walaupun aksi ‘donut’ lebih menyerupai maruku,dia yakin tag ‘Drifter in Car’ dan pelekat ‘No Drift No Life’ pada cermin belakang KE70 nya memberi seribu makna kepada Rudin. Terasa seperti ‘rockstar’ setiap kali masyarakat menggelar beliau sebagai ‘Drifter’.

Ketika rakan-rakan sebasikal Rudin menaik taraf dari basikal ke motorsikal sebaik sahaja tamat persekolahan,Rudin memilih untuk terus bermain kereta. Ini kerana harga sebuah KE70 adalah lebih kurang sama dengan sebuah motorsikal Yamaha RX-Z. Lagi pula Rudin telah melakukan sedikit penyelidikan melalui Wikipedia dan merujuk rakan-rakan di facebook yang mana chassis KE70 ni tak banyak beza daripada kereta Lagenda Corolla AE86 yang membintangi filem dari Hong Kong iaitu Initial D. Banyak kelengkapan AE86 seperti enjin,suspensi dan brek boleh disalin terus ke KE70 tanpa masalah. Menurut filem Initial D,AE86 ni merupakan kereta yang sangat berkuasa,sama laju atau lebih laju dari Mazda RX-7,Nissan Skyline GT-R dan Mitsubishi Lancer Evolution III. Rudin yakin,jika beliau memandu KE70,mesti 70% ketampanan Jay Chou (pelakon utama Initial D) ada padanya.

Lebih menguntungkan Rudin,Pakcik beliau telah bermurah hati untuk menjual KE70 miliknya dengan harga hanya RM2500-bajet yang sangat sesuai bagi seorang pemuda yang ketika itu berkerja di restoran makanan segera sementara menunggu keputusan SPM. Ketika KE70 tersebut masih dalam jagaan Pakcik Rudin,ia hanyalah dijadikan kenderaan untuk ke Masjid dan ke Pasar.Selebihnya,kereta itu lebih banyak direhatkan sahaja dibawah garaj. Kalau hujan memang Pakcik Rudin tak keluar langsung,risau tanah merah katanya. Kalau diikutkan,memang Pakcik Rudin tak nak jual kereta tersebut,memandangkan kaki beliau baru sahaja dipotong akibat kencing manis terpaksa juga beliau jual kerana beliau tidak mampu lagi memandu kereta bertransmisi manual. Dengan sedikit modal, Rudin telah menukar rim, merendahkan sedikit suspensi serta menambah spoiler depan atau lebih dikenali sebagai ‘dagu’ oleh sebilangan besar peminat kereta lama. Siapa sangka, 3 bulan selepas memiliki KE70 tersebut pihak YourRides telah sudi untuk menyiarkan kereta Rudin dalam majalah mereka.

Jentera KE70 Rudin meluru laju meredah lebuh raya Skudai menuju kolej kediaman beliau di Universiti Teknologi Malaysia. Setelah masuk simpang menghala ke Pulai, Rudin mengambil keputusan melalui jalan lama untuk ke UTM. Laluan jalan lama ni lebih ‘thrill’,banyak selekoh tajam yang menguji kebolehan pemandu. Tambahan pula KE70 ialah kereta berpacuan belakang yang mana mengikut pembacaan Rudin diinternet,adalah sangat sesuai dan laju untuk mengambil selekoh.

Semasa memecut pada laluan lurus sebelum masuk selekoh pertama,Rudin ternampak sebuah kereta berlampu bulat melalui cermin pandang belakang kereta beliau. Kereta tersebut mengekori rapat kereta milik Rudin. Deruman enjin nya yang senyap menyukarkan Rudin untuk meneka kereta jenis apa yang mengekorinya itu.

‘Ah,Datsun B210 ni ekzos standard je ni’. Teka hati Rudin berdasarkan fender side mirror yang terpasang kemas dikedua-dua fender depan kereta tersebut.

Sejurus sampai diselekoh,Rudin membrek sambil menurunkan kedudukan gear dari 3 ke 2 dengan teknik heel and toe dimana hujung kaki kanannya menekan brek manakala tumit kanannya menekan pedel pemecut dengan tujuan mengekalkan momentum enjin ketika gear diturunkan.Stereng di halakan ke kanan sedikit. Sebaik mendapat apex yang ideal,Rudin menekan 80% pedel pemecut melepasi selekoh pertama. Kereta dibelakang mengekori kelajuan Rudin tanpa masalah,malah lebih dekat pula jarak mereka setelah melepasi selekoh.

Mula masuk keselekoh kedua,kali ini sebelah kiri. Rudin masih menggunakan teknik yang sama. Dan perkara yang sama terjadi. Kedudukan mereka menjadi semakin rapat. Rudin berasa rimas dengan tekanan yang diterima. Sebagai seorang yang dikenali sebagai Drifter,adalah sangat malu jika mengalah dengan mudah di jalan berliku. Dia berazam untuk menjarakkan sedikit kedudukan mereka pada selekoh seterusnya.

Diselekoh ketiga,teknik yang sama masih digunakan pada permulaan selekoh. Namun teknik itu diubahsuai sedikit pada pertengahan selekoh dimana Rudin menekan pedel pemecut lebih awal dan lebih agressif iaitu pada kadar 100%. Rudin menjangkakan kereta beliau akan mengalami sedikit oversteer dan masalah itu akan ditangani dengan cara memutar stereng berlawan arah. Dengan cara ini kelajuan ketika keluar selekoh akan menjadi lebih laju dan lebih bergaya. Namun Rudin silap. Pengubahsuaian yang dilakukan pada kereta Rudin hanyalah menyuntik absorber depan dengan minyak yang lebih likat,absorber belakang digantikan dengan absorber lori 1 tan dan keempat-empat spring telah dipotong untuk mendapatkan kerendahan badan. Manakala pada enjin pula,enjin 4K asal masih dikekalkan cuma karburator telah digantikan dengan karburator Proton Saga. Gandar belakang juga masih standard tanpa LSD atau dikunci secara kimpalan. Hasilnya,oversteer yang diharapkan hanya lah mengundang understeer.
Kereta Rudin terbabas kebahu jalan,hampir-hampir melanggar penghadang jalan. Mujurlah Rudin berjaya mengelak.Kereta yang dari tadi mengekor rapat kini dengan senang mendahului Rudin. Alangkah terkejutnya Rudin,kereta yang memotongnya itu bukan seperti disangka. Ianya sebuah badan Hatcback 4 pintu dan mengenakan emblem ‘Civic CX’ pada bonet belakang

Bersambung.......

2 comments:

  1. Kah kah kah, celaka! baru reti nak update blog! dan dan dah ada Twitter pulak!

    ReplyDelete
  2. ahh.. Ni bersambung tahun dpn pn xtau lg dpt disambung..

    ReplyDelete

Rungutan korang