Wednesday, September 3, 2014

Enjin Anjakan Bervariasi

Kita seringkali dihidangkan informasi berkenaan sistem pemasaan injap bervariasi seperti VTEC,VVT-I dan DVVT,namun pernahkah anda dengar berkenaan enjin dengan anjakan bervariasi?

Enjin dengan anjakan bervariasi ini bermaksud enjin tersebut berfungsi dengan anjakan atau kapasiti (cc atau liter) yang berubah-ubah ketika beroperasi dengan ‘mematikan’ sebahagian sellinder dan omboh enjin untuk tujuan penjimatan bahanapi, meningkatkan kecekapan dan juga lebih mesra terhadap alam sekitar.
Contohnya, enjin tersebut mempunyai enam selinder dengan kapasiti 3000cc (setiap selinder berkapasiti 500cc). Jadi jika dua selinder ‘dimatikan’ , ini bermaksud enjin tersebut beroperasi dengan pengunaan petrol seperti 2000cc sahaja.Selinder-selinder tersebut dimatikan dengan kawalan kotak komputer enjin serta dibantu dengan beberapa sensor dan actuator.

Dengan sebahagian omboh dimatikan, adakah sistem ini akan menjejaskan pemanduan? Jawapannya tidak,malahan pemandu hampir tidak menyedari selinder-selinder tadi telah pun dimatikan. Ini kerana sistem ini hanya berfungsi ketika enjin tidak didalam keadaan terbeban (on load)contohnya memandu pada halaju malar 80 km/j diatas lebuh raya ataupun ‘merangkak’ didalam kesesakan lalulintas.
Sistem Anjakan bervariasi ini telah dibina sejak tahun 1981 yang dimulakanoleh Cadillac dimana enjin V8 rekaan mereka itu boleh bertukar kepada mod V6 dan V4 ketika beroperasi.Namun projek ini kekal sebagai prototaip dan tidak dikomersialkan atas banyak sebab-sebab teknikal.

Mitsubishi MD
Tahun berikutnya iaitu 1982,Mitsubishi telah melancarkan enjin dengan sistem anjakan bervariasi ini-lebih dikenali dengan nama Mitsubishi Modulated Displacement (Mitsubishi MD).Sistem ini buat pertamakalinya diadaptasi pada enjin 4G12 1.4L empatselinder.Sistem MD ini akan mematikan selinder nombor 2 dan 3 pada enjin tersebut dengan ‘rocker arm’ istimewa yang boleh dimatikan dari menekan injap kebawah walaupun ditolak oleh aci sesondol. Pergerakan rocker arm ini pula dikawal oleh mekanisma hidraulik yang menerima arahan dari kotak komputer.
Pada tahun 1993,Mitsubishi telah menggabungkan teknologi MD ini dengan teknologi injap bervariasi mereka iaitu Mitsubishi Innovative Valve Electronic Control (MIVEC), menghasilkan sebuah teknologi baru yang dipanggil MIVEC MD.Sistem MIVEC MD ini telah diperhalusi dan menghasilkan penjimatan bahanapi sehingga 20 peratus. Pemandu juga tidak menyedari bila mana sistem ini diaktifkan. Dan kerana ianya disatukan dengan sistem MIVEC, kuasa enjin akan hadir bila mana ianya diperlukan tanpa kompromi.

Active Cylinder Technology (ACT)- Volkswagen Group
Enjin Volkswagen 1.4L TSI sekali lagi memenangi anugerah ‘Engine of the Year’ untuk tahun 2013.Rahsianya?Jurutera Volkswagen telah menambah sistem Active Cylinder Technology (ACT) pada enjin turbo TSI tersebut untuk meningkatkan lagi tahap efisiennya. Seperti juga sistem MD,sistem  ACT ini ‘mematikan’ selinder 2 dan 3 ketiga enjin tidak berada pada situasi ‘on load’. Cuma mekanisma yang mematikan selinder-selinder tersebut agak berbeza dengan sistem MD.
Sesondol pada aci sesondol selinder nombor 2 dan 3 boleh digerakkan ke kiri dan kekanan untuk ‘melarikan’ sesondol tersebut dari menekan dan membuka injap kemasukan dan injap ekzos. Seperti biasa,sistem ini digerakkan mengikut arahan daripada kotak komputer enjin.
Volkswagen Group turut menyalurkan teknologi ACT ini kepada Audi untuk enjin TFSI 1.4L yang dikenali sebagai sistem Cylinder On Demand (COD) yang menguasakan Audi A1 dan Audi A3 terkini.


No comments:

Post a Comment

Rungutan korang