Tuesday, September 9, 2014

V40 T4-VOLVO ERA BARU


Volvo,pembuat kereta dari Sweden ini seringkali dikaitkan dengan jenama yang mempelopori teknologi kereta yang paling selamat. Selain itu,jenama itu juga popular dengan teknologi enjin berkuasa turbo sejak era pertengahan 80’an lagi. Walaupun mempunyai reputasi enjin turbo yang mampu membuatkan pemandunya tersenyum lebar setiap kali pedal pendikit ditekan, rekabentuk badan Volvo seringkali dikaitkan dengan kereta untuk ‘ayah-ayah’. Volvo pernah juga tampil dengan rekabentuk yang sporty,tetapi kereta-kereta seperti Volvo 242GT,Volvo C30 dan Volvo C70 tidak mempunyai tahap praktikaliti yang tinggi kerana ia direka dengan rekaan dua pintu.


Buat pertama kalinya, Volvo telah memperkenal kereta dengan bentuk badan hatchback lima pintu. Jika sebelum ini lencana ‘V’ dilekatkan pada model-model wagon Volvo seperti V50 dan V70,kali ini lencana ini dilekatkan pada badan Hatchback lima pintu-Volvo V40.




Jika dipandang dari sisi, V40 terbaharu ini mempunyai iras-iras kereta yang berkongsi platform dengannya iaitu Ford Focus terbaharu. Namun jika pandangan anda beralih pada mukanya terutama pada lampu utama,bampar dan grill hadapan,signatur rekaan Volvo jelas kelihatan. Begitu juga dengan lampu belakang kereta ini,jika tidak dilekatkan dengan emblem Volvo juga anda pasti kenal ianya sebuah Volvo.






Menerjah masuk kebahagian dalaman,bau kulit asli terus menangkap hidung penulis seterusnya memberikan ‘feel’ sebenar kereta mewah buatan Eropah. Papan pemuka direka ringkas tetapi menarik, seiring dengan falsafah ‘scandinavian design’ orang Sweden. Paling menonjol tentulah rekaan konsol tengah yang menempatkan butang dan suis kawalan sistem penghawa dingin,sistem audio dan telefon yang direka nipis serta mempunyai ruang storan dibahagian belakangnya dan membuatkan konsol ini kelihatan terapung.

Paparan meter pada V40 ini menampilkan rekaan yang agak berlainan dari Volvo generasi sebelum ini dimana meter kelajuan diletakkan pada bahagian tengah dan mempunyai paparan meter kelajuan digital serta maklumat lain berkaitan keadaan kereta ditempat yang sama. Meter kelajuan tersebut kelihatan amat menarik dan mudah dipantau tetapi penulis kurang selesa dengan takometer yang direka sangat kecil disebelah kanan dan meter eco analog yang terlalu besar pada sebelah kiri. Meter eco tersebut memberi impresi awal seolah-olah ianya berfungsi berdasarkan bacaan vakum pada enjin seperti yang terdapat pada Volvo 240 walaupun hakikatnya bacaan eco tersebut diperolehi secara matematik daripada kotak komputer.

Tuil gear juga mendapat nafas baru dalam rekaan Volvo dimana paparan penunjuk posisi gear tidak lagi berada disebelah tuil tetapi diatas pemegang tuil itu sendiri. Bentuk pemengang tuil tersebut juga membuatkan pemandu akan berasa selesa dan relaks semasa menggunakan mod manual sambil meletakkan siku pada perehat tangan.


V40 T4 dijana dengan dengan enjin 1.6 desakan Turbo yang mampu menghasilkan kuasa maksima 180bhp pada takat 5700rpm dan tork maksima 240Nm sekitar 1600rpm hingga 5000rpm. Digandingkan dengan kotak gear automatik Powershift 6 kelajuan yang sangat responsif, V40 T4 mampu  memecut dari pegun hingga 100km/h dalam masa 8.5 saat dan mencapai kelajuan maksima 225km/j.


Volvo V40 T4 ini dijual pada harga RM174,178.00 tanpa insuran. Setiap pembelian V40 T4 ini akan disertakan dengan jaminan 5 tahun dan perkhidmatan bantuan Volvo-On-Call percuma juga selama 5 tahun dari Volvo Cars Malaysia.





No comments:

Post a Comment

Rungutan korang